PROTON Holdings Berhad (Proton) akan melaksanakan pemasangan enjin turbo pada kenderaan keluarannya tahun depan dengan Proton Exora bakal dijadikan model pertama menggunakan teknologi itu.
Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir (gambar)(gambar) berkata, teknologi itu dibangunkan Proton bersama anak syarikatnya, Lotus Group International Ltd.
Katanya, penggunaan enjin berkenaan mampu menyokong produk Proton di masa depan, sekali gus mengukuhkan jenama kereta nasional itu di peringkat domestik dan antarabangsa.
“Prestasi enjin bercaj turbo ini bersamaan dengan enjin berkapasiti dua liter, sekali gus meningkatkan kualiti dan pelepasan produk Proton di masa depan.
“Kami menjangka memasang enjin ini pada 2011 pada Proton Exora sebelum membuat pemasangan bagi model lain,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Proton bagi tahun kewangan 2009/2010 di Subang Jaya, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Proton, Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh.
Syed Zainal Abidin berkata, Proton akan melancarkan satu model baru dengan kerjasama Mitsubishi Motors selain versi berwajah baru bagi model sedia ada tidak lama lagi.
“Model baru itu yang menggantikan Proton Waja akan dilancarkan November ini. Harga jualannya tinggi sedikit berbanding Proton Waja, namun menampilkan ciri dan prestasi jauh lebih baik,” katanya.
source
No comments:
Post a Comment