KUALA LUMPUR - Harga kenderaan dijangka akan mengalami kenaikan jika pemasangan beg udara diwajibkan dipasang pada setiap kenderaan pada 1 Januari depan.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Naza, Datuk SM Zulkifli SM Amin, pihaknya tidak menolak harga kenderaan perlu dinaikkan jika ada tambahan peralatan atau aksesori pada kenderaan tersebut.
"Memang sudah menjadi kebiasaan, jika ada sesuatu yang ditambah, harga kereta juga pasti tidak akan sama dengan harga sebelum ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha semalam bahawa kementerian itu bersedia melonggar masa enam bulan lagi bagi membolehkan pekilang dan pemasang kenderaan di negara ini mematuhi peraturan baharu memasang beg udara dalam kenderaan keluaran mereka pada 1 Januari depan.
Cho Ha dipetik berkata, semua kenderaan kecuali pacuan empat roda akan dikehendaki dipasang dengan beg udara mulai tahun depan sebagai salah satu usaha mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya.
Difahamkan kos pemasangan beg udara bagi sesebuah kenderaan agak tinggi iaitu di antara RM1,500 hingga RM6,000 bergantung kepada jenis kenderaan.
Mengulas lanjut, SM Zulkifli berkata, berikutan peraturan itu, pekilang dan pemasang kenderaan perlu membuat persediaan awal bagi memastikan peraturan tersebut dapat dipatuhi.
"Ini bukan isu baharu, kerajaan telah membuat pengumuman sebanyak beberapa kali, ini merupakan tanggungjawab semua untuk meningkatkan kualiti kenderaan di negara kita," ujarnya.
Sementara itu, menyentuh mengenai isu tali pinggang keledar, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, isu itu sudah lama dibincangkan dan tidak sepatutnya menjadi masalah kepada pengeluar kenderaan.
source
No comments:
Post a Comment