Tuesday, January 10, 2012
Pemandu diuji kereta automatik tidak dibenar pandu kereta manual
2012/01/10
IPOH: Mereka yang memegang lesen memandu selepas diuji dengan kenderaan transmisi automatik hanya dibenarkan memandu kenderaan jenis itu sahaja mulai Mei ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.
Beliau berkata, melalui pelaksanaan sistem baru itu, pemandu yang lulus selepas diuji menggunakan kenderaan manual dibenarkan memandu kedua-dua jenis kenderaan, transmisi automatik dan manual.
"Kita sedang membuat satu rancangan pengubahsuaian terhadap Kurikulum Baru Pendidikan Pemandu siap yang merangkumi ujian menggunakan kereta automatik sebagai satu pilihan.
"Terpulang pada pelajar untuk memilih sama ada mereka hendak diuji dengan kenderaan automatik atau manual untuk belajar.
"Mereka yang diuji kereta manual lesen memandu boleh digunakan untuk memandu manual dan auto manakala mereka yang diuji dengan kereta auto, pemegang lesen hanya boleh memandu kereta auto sahaja," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan cek Magnum IT Sdn Bhd sebanyak RM69,000 kepada 23 badan-badan kebajikan di seluruh Perak.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan cadangan penggunaan kenderaan transmisi automatik bagi ujian memandu yang akan dilaksanakan pada Mei selepas pengubahsuaian terhadap Kurikulum Baru Pendidikan Pemandu siap.
Mengenai pendidikan keselamatan jalan raya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah menengah, Kong berkata, kerajaan bercadang untuk melanjutkannya sehingga ke Tingkatan Empat bagi mewujudkan satu budaya keselamatan jalan raya di kalangan generasi muda.
Kong berkata, bagi Tingkatan Satu sebuah buku teks yang mengandungi pendidikan keselamatan jalan raya disediakan mulai tahun ini.
"Ini adalah satu usaha kerajaan dan agensi berkaitan termasuk Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sebagai satu usaha untuk membantu pengguna jalan raya agar lebih bertanggungjawab dan mematuhi peraturan undang-undang jalan raya," katanya.
Pada April 2007, JKJR dengan kerjasama Kementerian Pelajaran memperkenalkan pendidikan keselamatan jalan raya yang diterapkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, bermula di 1,000 sekolah rendah terpilih. - BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment