Google
 
Showing posts with label tip-tip. Show all posts
Showing posts with label tip-tip. Show all posts

Friday, June 26, 2009

Cara mengekalkan kilauan kereta

Kesan pancaran matahari, hujan, lecah, embun dan pencemaran alam sekitar adalah faktor semula jadi yang menyebabkan kereta anda kotor dan tidak berseri.

Tetapi, bagi mereka yang mengambil berat terhadap kereta dan rajin membasuh sendiri, warna kereta anda akan sentiasa menawan, walaupun sudah berusia lima hingga 10 tahun. Malah, usaha anda pasti tidak sia-sia kerana kereta yang sentiasa bersih dan berkilat mempunyai nilai pasaran tinggi apabila dijual semula.

Sesetengah pemilik kereta memang malas atau tidak ada masa untuk membasuh kereta. Mereka sanggup mengeluarkan wang RM5 hingga RM10 sebagai upah mencuci keretanya. Bagaimanapun, jika basuh sendiri, selain berpuas hati, kerja itu adalah satu senaman.

Sebenarnya, tiada rahsia atau alat tertentu yang boleh menghindari cat kereta daripada cepat pudar dan luntur. Ia berkaitan dengan kepekaan anda, sama seperti anda menjaga kesihatan tubuh badan. Yang penting ialah mencuci kereta dengan kerap kerana ia boleh menghindarkan kesan pencemaran, sekali gus mengelakkan badan kereta daripada terlekat habuk, terutama yang boleh menyebabkan karat.

Pada dasarnya, kereta hendaklah dicuci sekali dalam masa dua atau tiga minggu. Apabila mencuci kereta, bahan cucian yang digunakan juga perlu dipilih dengan berhati-hati.

Pemilihan bahan pencuci yang tidak tepat boleh menyebabkan risiko karat kepada kereta.
Anda dinasihatkan supaya jangan sekali-kali menggunakan sabun atau serbuk pencuci pakaian untuk mencuci kereta kerana bahan pencuci itu mengandungi garam yang boleh menyebabkan karat. Untuk memudahkan cucian, gunakanlah kain lembut atau span. Anda perlu menyiram kenderaan dengan air yang banyak bagi menghilangkan buih sebelum dikeringkan dengan kain bersih.

Selain menggunakan sabun, ada pemilik kereta yang menggunakan bahan pengilat selepas mencuci untuk menjadikan cat kereta lebih berkilat. Bahan pengilat mampu menghapuskan kekotoran yang melekat pada badan kereta. Bagaimana pun, anda perlu memilih bahan pengilat yang sesuai dengan kereta anda, sama ada menggunakan cat biasa atau metalik. Teknik mengilat kereta juga harus dipelajari bagi memastikan penggunaan bahan itu selaras dengan harganya. Pastikan bahan pengilat diletakkan pada kain bersih. Selepas itu gosokkan secara sama rata pada permukaan kereta. Sebaik-baiknya anda melakukan gosokan dengan gerakan bulatan. Anda perlu menunggu beberapa minit sehingga bahan pengilat yang melekat pada bahagian yang disapukan itu bertukar warna keputihan sebelum ia digosok untuk kali kedua.

Panduan paling penting ialah jangan sekali-kali menggunakan bahan pengilat di bawah pancaran matahari terik kerana ia menimbulkan hasil yang kurang memuaskan. Tidak dapat dinafikan ramai pengguna tertipu membeli bahan pengilat dan syampu pencuci yang berkualiti rendah. Bahan yang bermutu rendah mempunyai kesan sampingan seperti merosakkan warna serta menyebabkan permukaan bercalar.

Selalunya, pemilik kereta hanya menumpukan perhatian terhadap penjagaan bahagian luaran kereta. Mereka sering kali meninggalkan bahagian dalam kereta yang turut mencerminkan kebersihan sesebuah kereta.

Beberapa bahagian dalam terutama besi atau bingkai tingkap, tepi lantai dan rangka pintu, turut mempunyai bahagian yang bercat. Bahagian ini juga perlu dibersihkan kerana sesiku pada tetingkat dan tepi pintu selalunya menjadi perangkap air dan habuk. Jika anda membiarkannya, lama kelamaan ia boleh meninggalkan kesan karat yang teruk. Pembersihan optimum pastinya merangkumi seluruh komponen dalaman dan luaran kereta, termasuk enjin. Bagaimanapun, anda dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati jika mahu membersihkan bahagian enjin kerana cukup sensitif dengan air terutama akibat pancutan air yang kuat.

Saturday, June 13, 2009

Cara Terbaik Jimatkan Petrol

Pengguna kenderaan bermotor akan berusaha mengurangkan kadar penggunaan bahan bakar ke tahap paling rendah. Keadaan ini perlu kerana penggunaan bahan api paling minimum dapat menjimatkan perbelanjaan petrol. Sehubungan itu, adalah penting bagi anda memerhatikan kadar penggunaan petrol bukan sekadar harganya yang tinggi tetapi penggunaan bahan itu secara berlebihan menandakan enjin kereta anda mengalami kerosakan.

Jika anda mendapati penggunaan petrol pada kenderaan secara berlebihan, periksa puncanya sebelum membeli sebarang alat bantuan mengurangkan penggunaan petrol yang banyak terdapat di pasaran. Ini kerana pembelian alat berkenaan mungkin tidak memberi kesan sepatutnya jika keadaan enjin kereta anda mengalami masalah hingga menyebabkan penggunaan petrol bertambah. Cara terbaik menjimatkan petrol dan mengekalkan tahap penggunaan petrol ialah dengan melakukan pelarasan enjin. Selain itu, perkara penting yang perlu diketahui pengguna ialah sikap dan cara pemanduan kerana ia banyak mempengaruhi penggunaan petrol kereta.

Antaranya, menggunakan gear dua atau tiga terlalu lama sebelum menukar ke gear seterusnya, tabiat menekan pedal minyak terlalu kuat ketika pemanduan mendatar atau menuruni bukit boleh menyebabkan penggunaan petrol yang berlebihan Sehubungan itu, apabila anda melakukan pelarasan enjin, ia membantu mengurangkan penggunaan petrol sehingga 15 peratus. Teknik memandu yang salah juga menjadi punca penggunaan petrol melebihi 20 peratus.

Di samping itu, anda juga perlu mengetahui apabila membawa bebanan yang lebih daripada kadar yang sesuai juga menyebabkan kadar penggunaan petrol melebihi dari tahap biasa.

Oleh itu, anda perlu perhatikan dalam but kereta anda, mungkin terdapat banyak barang yang tidak sepatutnya berada dalam but tetapi dibawa ke sana ke mari. Ia pasti menambah beban enjin. Anda harus membawa barang yang perlu saja seperti alat membaiki kereta dan alat yang dapat membantu ketika kecemasan. Karier (alat membawa barang atas bumbung kereta) juga boleh menambah penggunaan petrol pada kadar lima peratus.

Harus diingatkan, jangan sekali-kali memasang karier sekiranya anda tidak bercadang membawa barang berlebihan atas bumbung kereta. Karier menghalang udara berlepas ke belakang dengan sempurna ketika kereta memecut. Enjin dalam keadaan panas normal juga boleh membantu meningkatkan perbatuan dan prestasi kereta anda. Biarkan enjin panas sebelum memulakan perjalanan dan jangan sekali-kali memulakan perjalanan tanpa terlebih dulu merancang jalan mana untuk ke destinasi. Jangan mengambil jalan singkat ke sesuatu destinasi jika jalan lebih jauh satu atau dua kilometer dipastikan lebih elok. Ini kerana anda perlu kerap menukar gear jika menggunakan jalan kurang elok.

Tip

• Apabila di tempat meletak kenderaan terdapat bekas titisan minyak atau tercium bau petrol sebaiknya anda perlu memeriksa sama ada terdapat kebocoran pada tangki atau tidak. Jika kebocoran pada tangki, bawa kereta ke bengkel untuk diperbaiki atau jika berlaku kebocoran pada sambungan paip petrol, anda perlu mengetatkan sambungan menggunakan spana.
• Apabila penapis udara tersumbat, ia menyebabkan kemasukan udara ke silinder berkurangan sedangkan penggunaan akan melebihi daripada biasa. Oleh itu anda perlu memeriksa elemen penapis udara dan jika ia kotor, anda perlu membersihkannya.
• Apabila enjin berada dalam keadaan tidak baik atau apabila ekzosnya tersumbat maka penggunaan petrol akan menjadi berlebihan. Oleh itu kenderaan anda perlu dibawa ke bengkel untuk pemeriksaan. Penggunaan petrol akan berlebihan apabila kenderaan anda sering dimati dan dihidupkan.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

Click This Ad