Jadi kenderaan rasmi sebelum dikomersialkan
PROTON Holdings Bhd (PROTON) sudah mendapat kelulusan kerajaan untuk mengeluarkan kira-kira 200 kereta hibrid sebagai kenderaan rasmi kerajaan mulai Januari tahun depan.
Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata langkah itu akan membantu PROTON menguji kemampuan sebenar kenderaan mesra alam itu, sebelum dikeluarkan secara komersial bagi pasaran domestik dan antarabangsa.
“Kalau semuanya berjalan lancar ia akan digunakan oleh kerajaan di Putrajaya dan beberapa tempat lain sebagai percubaan supaya kami dapat membuat penilaian terhadap aspek teknikal dan prestasinya.
“Jika semuanya dalam keadaan baik dan memenuhi keperluan, kami akan mengeluarkannya secara komersial.
“Setiap unit kereta hibrid yang dibekalkan itu akan dipantau oleh PROTON dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Fiesta Keluarga dan Inovasi PROTON di Stadium Shah Alam, kelmarin.
Hadir sama Pengerusi PROTON, Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh. Kira-kira 5,000 kakitangan PROTON dari seluruh negara hadir memeriahkan sambutan berkenaan.
Syed Zainal berkata, pihaknya tidak menetapkan tempoh masa percubaan penggunaan kereta hibrid itu, sebaliknya PROTON akan mengambil kira semua maklum balas dan pandangan bagi memastikan pembangunan kereta jenis itu dapat memenuhi setiap standard piawaian syarikat serta di peringkat antarabangsa.
“PROTON perlu segera membangunkan teknologi hibrid bagi memenuhi piawaian global.
“Justeru, adalah penting bagi kerajaan untuk terus menyokong pembangunan kereta hibrid keluaran tempatan dengan memberi pelbagai inisiatif seperti memperkenalkan beberapa jenis cukai untuk menarik orang ramai membeli kereta jenis itu,” jelasnya.
Penganalisis industri automotif ketika dihubungi berkata, beberapa barisan produk PROTON seperti Saga atau Persona berpotensi muncul sebagai model pertama yang akan dipasang dengan enjin hibrid.
Katanya, dengan enjin hibrid dan ditambah dengan peningkatan kos semasa bagi bateri berkenaan, PROTON dijangka akan menjual kereta jenis mesra alam itu di pasaran bermula pada RM80,000 seunit.
Awal bulan ini, Penasihat PROTON, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pengeluar kereta nasional itu menyasar menjual kereta hibrid keluarannya pada harga di bawah RM100,000 bagi membolehkannya bersaing dengan kenderaan hibrid keluaran syarikat automotif terkemuka dunia.
Terdahulu pada Fiesta Keluarga dan Inovasi PROTON, kumpulan ‘Gruner TF Exponent’ memenangi hadiah wang tunai RM12,000 dalam pertandingan prototaip kereta yang dibuat menggunakan bahan terpakai dan teknologi hijau.
Tempat kedua dan ketiga pula dimenangi oleh ‘Innotech 2’ dan ‘Evolusi G’, masing-masing membawa pulang wang tunai RM8,000 dan RM6,400.
Pertandingan berkenaan diilhamkan oleh Dr Mahathir tahun lalu dalam usaha memupuk budaya inovasi dalam syarikat berkenaan.
SUMBER :bharian
No comments:
Post a Comment