RINTIHAN RAKYAT BIASA
Saya merupakan salah seorang di antara pemilik kereta yang berumur lebih dari 15 tahun yang dilaporkan berjumlah mencecah 2.7 juta buah di Malaysia yang tercinta ini. Saya amat tertarik dengan berita-berita di akhbar mengenai Dasar Automotif Negara (DAN) yang telah diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini. Walaupun DAN ini dilaporkan secara ringkas sahaja tetapi hati saya mulai gusar dengan apa yang bakal berlaku selepas ini.
Saya menulis ini berdasarkan pemahaman saya melalui laporan di akhbar-akhbar kerana saya ini hanyalah rakyat biasa, seperti kebanyakan rakyat di kampung atau luar bandar yang rata-rata tidak begitu mengerti dengan dasar-dasar yang kerajaan akan laksanakan. Saya bukanlah di antara orang-orang yang mampu menukar kereta bagaikan menukar pakaian sahaja seperti towkey besar, pegawai eksekutif atau pun ahli-ahli Yang Berhormat di luar sana.
Sejak akhir-akhir ini, saya lihat pelbagai peraturan telah dikenakan kepada saya serta orang seperti saya untuk meneruskan kehidupan dengan memiliki kereta-kereta yang berusia. Tidak cukup dengan kenaikan premium insuran pihak ketiga dan keengganan pihak insuran untuk menerima kereta-kereta kami ini, kali ini kami dikejutkan pula dengan DAN yang saya lihat akan banyak menguntungkan ahli-ahli korporat dunia automotif sahaja.
Dengan adanya DAN ini yang kononya dibuat atas dasar membantu merancakkan industri automotif negara, kami dipaksa secara halus untuk melepaskan kenderaan kami dan membeli kenderaan baru yang didakwa lebih moden serta berteknologi tinggi. Bagi kami, kami tidak memerlukan kenderaan yang moden atau canggih untuk ke tempat beribadat atau untuk ke tempat kerja. Cukup lah dengan ketenangan fikiran kami yang kini bebas dengan hutang pinjaman kenderaan. Kenderaan yang moden dan canggih tentu sekali datang dengan tag harga yang kami tidak mampu membelinya secara tunai. Tetapi jika DAN ini terus menekan kami, maka terpaksalah kami membelinya secara hutang. Kami ingin bertanya kepada pihak yang berkenaan, adakah dengan berhutang ini menandakan kita telah maju dan Negara akan makin cepat membangun?
Saya juga amat tertarik dengan Menteri yang berkaitan mengenai kenyataannya untuk menghentikan kemasukan alat ganti kenderaan terpakai ke Negara ini serta komitmen beliau untuk memberi insentif kepada mereka yang ingin membangunkan alat ganti automatif di dalam Negara ini. Saya berpendapat, tindakan tersebut hanya akan menguntung sebelah pihak sahaja dan tentu sekali pihak kami iaitu rakyat biasa akan rugi selamanya. Mungkin antara kami mampu untuk membeli kenderaan baru secara hutang tetapi belum tentu kami mampu untuk mendapatkan alat ganti kenderaan dengan harga yang munasabah. Jika kemasukan alat ganti kenderaan terpakai dihentikan, kami terpaksa mendapatkan alat ganti baru yang bukan semuanya datang dengan harga yang mampu milik. Sebagai contohnya, harga gearbox canggih kereta nasional yang dilancarkan dahulu bagaikan mimpi ngeri kepada pemilik-pemiliknya. Harganya mencecah belasan ribu dan tidak sepadan dengan harga keretanya yang kini dalam promosi mudahmilik oleh pengeluarnya. Ianya bagaikan kata orang-orang tua di kawasan kampung, mahal tali dari lembu. Inilah yang menjadi persoalan kami, adakah DAN ini akan memberi jaminan kepada kami untuk mendapatkan harga alatganti dengan murah dan berkualiti? Berdasarkan pengalaman kami ini, kebanyakan alatganti buatan tempatan terlalu rendah kualitinya dan ianya boleh membahayakan pengguna seperti kami ini.
Oleh itu, kami amat berharap kerajaan dapat mengkaji semula DAN ini demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia. Kami bukanlah menentang pelaksanaan DAN ini tetapi biarlah DAN ini dapat memberi manafaat kepada seluruh rakyat, bukannya kepada pihak yang tertentu sahaja. Dengarlah rintihan orang-orang seperti kami. Jangan hancurkan kepercayaan kami yang sekian lama diberikan. Jika rintihan kami diabaikan, maka konsep 1Malaysia yang dicanangkan akan gagal ditengah jalan kerana apa yang kami lihat, keutamaan hanya diberikan kepada pihak-pihak yang tertentu sahaja.
Sekian. Terima kasih
pokjik
Source: pmc
Terima kasih kerana berkongsi
ReplyDelete