Google
 

Sunday, March 14, 2010

Ibu hamil terperosok bawah kren

KULIM: Seorang ibu yang sarat mengandung nyaris maut selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah lori kren yang dipercayai hilang kawalan dalam kemalangan di Jalan Kulim Hi-Tech Park berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, lori kren yang datang dari arah Kulim Perdana, di sini, turut merempuh lima lagi kereta yang berada di laluan berkenaan.


Bagaimanapun, wanita berusia 30-an itu bernasib baik kerana hanya cedera di bahagian kaki walaupun kereta Proton Wira yang dipandunya remuk teruk selepas dirempuh dan diseret sejauh kira-kira lima meter oleh lori kren berkenaan sehingga terperosok ke dalam longkang berhampiran.


Jurucakap polis berkata, dalam kejadian itu lori kren berkenaan tiba-tiba hilang kawalan ketika hendak membelok ke Jalan Kelang Lama di persimpangan lampu isyarat di situ dan memasuki laluan bertentangan serta merempuh kereta wanita terbabit.


Kejadian itu turut menyebabkan lima lagi kenderaan di belakang kereta Proton Wira berlanggar sesama sendiri akibat perlanggaran itu.


“Wanita terbabit bernasib baik kerana kesan pelanggaran itu tidak mengenai bahagian perutnya yang sarat mengandung. Hanya kakinya yang tersepit di bahagian pemandu,” katanya.

Jurucakap polis berkata, bomba mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengeluarkan mangsa kerana mereka perlu berhati-hati dengan keadaan mangsa. Wanita terbabit dibawa ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut dan beberapa mangsa dari kereta lain menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital yang sama.


NAHAS...anggota bomba mengeluarkan wanita hamil yang tersepit dalam kereta.


NGERI...kereta mangsa yang dihempap kren.

sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/art...ahkren/Article

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

Click This Ad