KUALA LUMPUR: “Sedangkan pemandu pun masih ramai yang tak pakai, inikan pula penumpang di tempat duduk belakang,” kata Amir Ahmad, 29, pengguna jalan raya ketika ditemui di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini.
Menurut Amir, walaupun dia memandu dan jarang sekali duduk di belakang, dia juga tidak pernah menyuruh penumpang keretanya mengenakan tali pinggang keledar itu.
“Pengguna perlukan masa untuk sesuaikan diri kerana peraturan ini agak baru. Kempen yang berterusan daripada kerajaan mungkin lama-kelamaan akan menjadikan pengguna lebih mengambil berat isu ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan, berkata sejak pemakaian tali pinggang belakang dikuatkuasakan, pelbagai alasan diberikan penumpang ketika ditahan antaranya lokasi dituju tidak jauh, lupa dan sebab lain seperti mengandung dan saiz badan yang besar.
“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 9,787 saman dikeluarkan di seluruh negara bagi kesalahan ini dengan angka ini menunjukkan tahap kesedaran yang rendah di kalangan pengguna.
“Mungkin kebanyakan penumpang tidak tahu tindakan tidak memakai tali pinggang keledar satu daripada tujuh kesalahan utama yang serius dikesan boleh mengakibatkan kematian apabila berlaku kecelakaan,” katanya ketika dihubungi.
source
No comments:
Post a Comment