Google
 

Tuesday, January 31, 2012

DRB-Hicom rombak pengurusan kanan

DRB-Hicom Bhd akan melakukan rombakan kepada kumpulan pengurusan kanan dan ahli lembaga pengarah Proton Holdings Bhd, dengan melantik beberapa muka baru ke dalam syarikat pengeluar kereta nasional itu dalam tempoh dua bulan ini. 

Sumber berkata, selepas rombakan itu, konglomerat berkenaan akan mengumumkan pula butiran terperinci mengenai strategi, peruntukan dana serta sasaran tempoh khusus untuknya memulihkan prestasi kewangan Proton Holdings dan mengemudinya bagi menjadi antara jenama kenderaan pilihan.


Katanya, rombakan itu juga bertujuan untuk mengukuhkan semula sistem pentadbiran dan pengurusan Proton Holdings agar sejajar dengan matlamat pemilik barunya itu.
"Rombakan itu akan dilaksanakan sebaik saja DRB-Hicom melengkapkan pengambilalihan pengeluar kereta nasional itu daripada Khazanah Nasional Bhd dalam tempoh dua hingga tiga minggu ini," kata sumber berkenaan kepada Berita Harian di Kuala Lumpur. 

Beliau berkata, pengurusan kanan utama yang dijangka akan digantikan, termasuk Pengerusi Proton Holdings, Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh dan Pengarah Urusannya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir. 

"Setakat ini, kemungkinan calon yang bakal menggantikan Mohd Nadzmi ialah Datuk Nik Hamdan Nik Hassan, yang kini adalah Pengarah Automotif Kumpulan DRB-Hicom. 

"Calon utama yang disebut-sebut bagi menggantikan tempat Syed Zainal pula ialah Datuk Lukman Ibrahim, yang kini adalah Ketua Pegawai Operasi DRB-Hicom," katanya sambil menambah rombakan itu bagaimanapun hanya akan membabitkan jawatan tertentu kerana DRB-Hicom mahukan gabungan kumpulan pengurusan lama dan baru untuk memastikan tidak berlaku gangguan kepada perjalanan operasi perniagaan pengeluar kereta nasional itu. 
Nik Hamdan dan Lukman adalah bekas kumpulan pengurusan kanan Proton Holdings. 

Nik Hamdam pada 1987 dipinjamkan ke Proton Holdings daripada Hicom Bhd bagi menguruskan bahagian Unit Perancangan Produk, khususnya dalam memperkenalkan rangkaian produk baru, manakala Lukman pernah berkhidmat di Proton Holdings selama 17 tahun. 

Sumber berkenaan berkata, penggantian beberapa pegawai kanan utama dalam kumpulan pengurusan Proton Holdings itu adalah amalan biasa dalam dunia korporat, khususnya bagi sesebuah syarikat yang diambil alih. 

"Ia (rombakan pengurusan) amalan biasa dalam mana-mana syarikat dan dalam kes ini, DRB-Hicom tidak mahu menghabiskan masa hanya untuk ‘berbulan madu’ dengan Proton Holdings (selepas dipilih sebagai calon rasmi bagi mengambil alih Proton Holdings). 

"Apa yang dimahukan untuk kumpulan pengurusan baru ialah terus fokus dan bekerja keras untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan Proton Holdings selain mengemudi syarikat itu muncul jenama automotif pilihan, bukan saja di pasaran tempatan malah antarabangsa," katanya. 

Namun, sumber itu berkata, rombakan berkenaan ialah perkiraan awal DRB-Hicom dan masih belum dimuktamadkan kerana ia tertakluk kepada terma kontrak jawatan individu yang terbabit, selain memerlukan kelulusan Lembaga Pengarahnya. 



source

2 comments:

  1. With the new management seems like Proton is picking up very well.

    ReplyDelete
  2. Nice post thhanks for sharing

    ReplyDelete

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

Click This Ad