Google
 

Thursday, March 1, 2012

PROTON catat kerugian sebelum cukai RM84j


PROTON Holdings Bhd mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM84 juta dalam suku ketiga berakhir 31 Disember 2011 berikutan penurunan dalam jualan akhir tahun.


Pengeluar kereta nasional itu dalam kenyataannya semalam berkata jumlah jualan keseluruhan lebih rendah berbanding suku sebelumnya itu berikutan kelembapan yang sudah dijangka dalam arah aliran pembelian kerana pelanggan biasanya menunggu selepas tahun baru untuk membeli kenderaan bagi mendapatkan nilai jualan semula lebih baik.
Ia berkata, permintaan pengguna sepanjang tempoh itu juga adalah tidak menggalakkan, sekali gus terus menjejaskan margin keuntungan.
“Berikutan jumlah jualan lebih rendah itu, kumpulan perlu melaraskan pengeluaran untuk menguruskan kos dengan lebih baik,” katanya.


Prestasi PROTON dalam pasaran domestik juga dijejaskan oleh penurunan 0.9 peratus jualan kereta penumpang tahun lalu berbanding 2010.


Mengikut persatuan Automotif Malaysia (MAA), jumlah keseluruhan industri bagi tempoh Oktober hingga Disember 2011 susut kepada 149,879 unit daripada 153,041 unit suku sebelumnya.


Sepanjang suku dikaji, PROTON Holdings meraih pendapatan RM1.43 bilion berbanding RM1.83 bilion dalam tempoh sama tahun kewangan lalu.
Pendapatan yang diraih bagi sembilan bulan tahun kewangan semasa juga susut kepada RM5.92 bilion daripada RM6.36 bilion.


PROTON Holdings mencatatkan kerugian sebelum cukai terkumpul RM36.5 juta bagi sembilan bulan berbanding keuntungan sebelum cukai RM134.3 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama sebelumnya.


“Keuntungan lebih rendah itu kebanyakannya disumbangkan pendapatan lebih rendah dicatatkan dalam jualan domestik. Bagaimanapun, kesan tidak menggalakkan daripada pendapatan lebih rendah diserap oleh penurunan overhed pengeluaran serta perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah dalam tempoh sama.


“Selain itu, keputusan kewangan dijejaskan oleh jualan kereta Lotus lebih rendah di Eropah sepanjang suku lalu,” kata Pengerusi Kumpulannya, Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh dalam kenyataan itu.


Berikutan prestasi muram dalam industri, PROTON menjangkakan tempoh akan datang yang mencabar dengan jumlah jualan yang terus rendah.-Berita Harian

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

Click This Ad